• Pakai kasut yang selesa dan elakkan bertumit tinggi. Apabila kandungan membesar, imbangan badan berubah dan penggunaan kasut bertumit tinggi boleh menyebabkan kecederaan akibat jatuh atau terseliuh. Pilih kasut kulit atau kanvas agar kaki anda dapat edaran udara. Kasut sukan yang mempunyai sokongan lengkok tapak kaki dan tumit yang baik adalah sesuai dipakai di rumah atau bersiar-siar.  
  • Mulakan program senaman ringan yang berterusan untuk meregang dan menguatkan otot yang menyokong tulang belakang, otot abdomen dan kaki. Anda boleh mendapatkan nasihat doktor mengenai senaman yang sesuai. Aktiviti berenang boleh menguatkan otot abdomen, belakang badan dan kaki serta mengurangkan tekanan ke atas sendi-sendi tulang. Senaman juga boleh mengawal penambahan berat badan yang keterlaluan ketika mengandung.
  • Pastikan posisi tidur malam adalah betul bagi mendapatkan rehat yang cukup. Posisi mengiring dengan kedua sendi lutut dibengkokkan sedikit dan letak bantal di antara lutut dapat memberi keselesaan ketika tidur. Untuk bangun dari katil, mengiring dan bengkokkan sedikit paha dan lutut. Gunakan tangan untuk menolak badan anda bangun dari katil. Mandi atau berendam dalam air panas suam juga boleh mengurangkan sakit belakang.
  • Elakkan mengangkat barang berat dengan postur yang salah. Jika perlu mengangkat barang, pastikan anda membengkokkan kedua lutut dan jangan bengkokkan badan. Jika perlu menyidai baju, letakkan bakul di atas kerusi supaya anda tidak perlu kerap membongkok untuk mengambil baju dalam bakul untuk disidai.
  • Sekiranya langkah-langkah ini tidak dapat mengurangkan sakit belakang anda, berjumpalah doktor untuk nasihat dan pemeriksaan lanjut. Mungkin fisioterapi, ubat tahan sakit atau pengamal akupuntur atau kiropraktik boleh membantu jika anda didapati selamat untuk menerima rawatan berkenaan.